Malam Anugerah Brunei Content Festival 2023

Kehebatan Industri Konten Tempatan Diraikan

Selasa, 12 September 2023 –  Anugerah Brunei Content Festival (BCF) 2023, anjuran Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI), merupakan acara yang dinanti-nantikan dan ianya kembali lagi untuk tahun kedua tahun ini. Hadir selaku tetamu khas di Malam Anugerah tersebut ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Pengerusi AITI.

Anugerah Brunei Content Festival merupakan satu platform pertandingan untuk mengiktiraf kandungan-kandungan tempatan sebagai usaha untuk merangsang inovasi dan kreativiti dalam pembuatan kandungan. Ianya juga bertujuan untuk menggalakkan perkembangan dan pembuatan kandungan yang berkualiti tinggi serta berpotensi komersil yang boleh diedarkan dan disiarkan di platform televisyen atau perkhidmatan Over-the-Top (OTT).

Turut hadir ke Malam Anugerah BCF ialah Yang Mulia Ir. Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi; Yang Mulia Dr Haji Azman bin Ahmad, Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan; Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap; Ahli-Ahli Pihak Berkuasa; pegawai-pegawai kanan; serta wakil-wakil dari industri konten tempatan dan institusi pengajian tinggi. 

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Ir. Haji Jailani bin Haji Buntar, Ketua Eksekutif, AITI dan seterusnya diikuti dengan laporan penghakiman oleh Yang Mulia Dayang Nurain binti Abdullah selaku Ketua Juri.

Penyertaan pertandingan BCF tahun ini adalah sangat menggalakkan di mana adanya peningkatan yang sangat ketara berbanding dengan jumlah penyertaan tahun lalu. Daripada 131 penyertaan diterima tahun ini, sebanyak 96 penyertaan telah terpilih sebagai memenuhi kelayakan dan kriteria pertandingan.

Pertandingan BCF dibuka dari 15 Mei sehingga 23 Jun 2023 bagi dua (2) kategori, iaitu:

Kategori Industri yang dibukakan bagi syarikat produksi tempatan dan turut mengetengahkan anugerah bagi:

  • Drama Terbaik
  • Komedi Terbaik
  • Seram Terbaik
  • Iklan Terbaik

Kategori Terbuka yang dibukakan bagi freelancers, penuntut di Institut Pengajian Tinggi dan orang ramai, dan turut mengetengahkan anugerah bagi:

  • Identiti Brunei Terbaik
  • Filem Pendek Terbaik
  • Video Musik Terbaik
  • Filem Pendek Terbaik Institut Pengajian Tinggi

Di samping itu, peserta-peserta jua berpeluang untuk memenangi lapan (8) Anugerah Juri seperti berikut:

  • Sinematografi Terbaik
  • Editing Terbaik
  • Pelakon Lelaki Terbaik
  • Pelakon Perempuan Terbaik
  • Pengarah Terbaik
  • Konsep Terbaik
  • Konten Media Sosial Terbaik
  • Persembahan Terbaik

Kesemua penyertaan yang dipertandingkan telah dihakimi oleh panel juri yang terdiri daripada pakar-pakar industri tempatan dan luar negara, tenaga pengajar Institut Pendidikan Tinggi dan wakil daripada agensi Kerajaan. Penyertaan dinilai menurut kriteria-kriteria yang telah ditetapkan, termasuklah dari segi teknikal, kreativiti dan inovasi.

Pemenang-pemenang bagi Kategori Industri dan Terbuka telah menerima sebuah trofi, sijil penghargaan dan  wang tunai sebanyak dua ribu ringgit (B$2,000.00), manakala pemenang-pemenang Anugerah Juri pula telah menerima sebuah trofi, sijil penghargaan serta wang tunai sebanyak lima ratus ringgit (B$500.00).

Lebih dari lapan puluh (80) kandungan penyertaan dari peserta Anugerah BCF juga telah ditayangkan di acara BCF Screening and Exhibition yang diadakan di Atrium, The Mall, Gadong dari 8 hingga 10 September 2023 yang lalu.

Penganjuran acara BCF pada tahun ini turut disokong oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Radio Televisyen Brunei, Universiti Brunei Darussalam dan Progresif Media.

Pihak AITI amat berharap melalui platform Brunei Content Festival ini,  industri konten akan terus maju dan berkembang dengan penggunaan teknologi terkini, idea-idea baharu yang memberi impak positif, dan kerjasama dengan pelbagai pihak untuk menghasilkan lebih banyak kandungan tempatan yang mampu memenuhi piawaian tertinggi antarabangsa serta menepati cita rasa pengguna di peringkat serantau dan global.

 


Scroll to top